Tuesday, April 19, 2011

Senggugut lepas bersalin??

org2 kata, lps bsalin xkn kena senggugut lg..

tp kenapakah diriku masih dibelenggu senggugut??

argh!!

tensen.. sakit..

smua ada..



FAQ Tentang Senggugut

Anda mungkin pernah mengalami senggugut semasa haid. Dan ia membuatkan anda betul-betul tidak selesa. Ia biasa berlaku dan kebanyakan masanya bila ia berlaku anda mungkin hanya ingin berehat di rumah dan tidak mahu pergi ke sekolah atau ke tempat kerja.

Apa Itu Senggugut?

Senggugut atau istilah perubatannya ialah dismenorea. Ia merujuk kepada kesakitan yang dialami semasa permulaan haid. Ia mungkin lebih teruk semasa 2 hari pertama dan tidak semestinya akan dialami setiap kali haid. Bagi sesetengah gadis, mereka mengalami senggugut yang teruk manakala yang lainnya, cuma kesakitan yang agak sederhana atau sedikit.

Apa Yang Menyebabkan Senggugut?

Anda mungkin mula mengalami senggugut sekitar 6 hingga 12 bulan selepas bermulanya haid yang pertama. Untuk sesetengah gadis lain, mereka mungkin mula mengalaminya apabila mereka berumur 20 atau 30 tahun. Kesakitan senggugut ini adalah disebabkan pengecutan atau pergerakan kuat otot-otot uterus. Senggugut mungkin menjadi disemenorea primer atau sekunder bergantung kepada penyebabnya :

Dismenorea Primer

Kebanyakan gadis telah mengalami senggugut bermula haid pertama mereka atau sejurus selepas itu. Gadis yang mendapat haid pada umur 12 tahun atau lebih awal dan mereka yang mempunyai haid lebih lama lebih berkemungkinan untuk mengalami dismenorea primer.

Dismenorea jenis ini tidak disebabkan oleh penyakit lain seperti ketumbuhan abnormal ataupun jangkitan. Doktor mungkin tidak akan menjumpai apa-apa yang luar biasa pada tubuh semasa pemeriksaan. Punca-punca dismenorea primer termasuklah :


* Ketidakseimbangan bahan kimia – Oleh kerana keseimbangan merupakan perkara utama dalam mengekalkan kesihatan, ketidakseimbangan sesetengah bahan kimia di dalam tubuh boleh menyebabkan senggugut.

Bahan kimia yang menyebabkan senggugut adalah prostaglandin. Prostaglandin merupakan kimia yang membuatkan kita merasai kesakitan apabila ia berinteraksi dengan penghujung saraf kesakitan dalam tubuh.

Wanita yang mengalami senggugut menghasilkan lebih banyak prostaglandin di dalam uterus mereka. Ini menyebabkan otot di dalam uterus mereka bergerak lebih kuat dan lebih kerap pada hari pertama haid. Semakin kuat pergerakan otot uterus semakin kurang darah mengalir ke kawasan itu. Kekurangan aliran darah ini menyebabkan hujung saraf di dalam uterus semakin sensitif pada kesakitan.

* Genetik - Ada juga yang berkata gen mungkin memainkan peranan penting di sini. Sekiranya anda mengalami senggugut, kakak, makcik atau ibu mungkin turut sama mengalaminya.

Dismenorea Sekunder

Dismenorea sekunder adalah apabila senggugut bermula sekitar 2 tahun atau lebih selepas period pertama. Sesetengah wanita yang mengalami senggugut jenis ini dapat diubati dengan pil penahan sakit. Senggugut jenis ini memerlukan rawatan lanjutan oleh doktor.


Dismenorea sekunder disebabkan oleh :

# Ketumbuhan polips atau sista pada ovari atau uterus
# Jangkitan
# Radang rongga pelvis
# Endometriosis
# Penyakit usus seperti apendisitis
# Kehamilan ektopia atau kehamilan di dalam tiub fallopio

Wanita yang menghidap endometriosis kadang-kadang mengalami senggugut yang amat teruk. Ia boleh berlaku setiap kali mereka haid. Endometriosis terjadi apabila sebilangan kecil tisu yang menyerupai uterus tumbuh dalam struktur lain pada tubuh.

Mengapa Ada Yang Mengalami Senggugut dan Ada Yang Tidak?

Sesetengah wanita mungkin mempunyai gen yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada senggugut. Beberapa kajian menunjukkan gen merupakan faktor utama. Gen membuatkan seseorang mengalami tahap senggugut yang berlainan.

Faktor lain seperti diet dan suasana persekitaran juga memainkan peranan. Diet yang berlemak, rendah protein dan rendah serat boleh meninggikan risiko untuk mengalami senggugut.

Pengambilan gula yang banyak dan alkohol serta kopi semasa haid boleh mengakibatkan senggugut. Wanita yang merokok lebih berisiko untuk mengalami senggugut berbanding yang tidak merokok. Rehat yang tidak mencukupi dan tekanan yang tinggi di tempat kerja dan sekolah boleh mengganggu keseimbangan bahan kimia di dalam badan seterusnya mengakibatkan senggugut.

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan senggugut. Ada faktor yang tidak dapat dielak seperti gen tetapi faktor lain seperti diet boleh diubah. Jadi, sebenarnya senggugut boleh dicegah atau setidak-tidaknya boleh mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Saya Telah Mengalami Senggugut Sejak Saya Berumur 13 Tahun. Perlukah Saya Berjumpa Doktor?

Sekiranya anda mengalami senggugut sejak pertama kali haid, besar kemungkinan ianya adalah dismenorea primer. Jadi anda tidak perlu berjumpa doktor. Dismenorea primer boleh mengakibatkan :

* Kekejangan. Bahagian bawah perut mungkin terasa seperti dipulas atau dipintal
* Sakit kepala yang berdenyut-denyut
* Muntah atau mual/loya
* Sakit kaki dan bahagian belakang badan
* Pergerakan usus yang tidak sekata
* Pitam

Bila Saya Perlu Berjumpa Doktor?

Sakit tidak didapat dijangka. Siapa yang mahu sakit? Tetapi kesakitan yang dirasai kerana senggugut boleh membantu anda memahami apa penyebabnya. Anda akan mengetahui yang kamu mengalami dismenorea primer apabila :

* Kesakitan telah mula dirasai sejak pertama kali kamu haid atau 6 hingga 12 bulan selepas itu
* Kesakitan mula dirasai beberapa jam sebelum atau sejurus selepas permulaan haid
* Dua hari pertama haid adalah paling sakit
* Kesakitan mungkin akan hilang 2 atau 3 hari selepas permulaan haid
* Kesakitan mungkin dirasai di bahagian belakang badan, peha dan kaki

Jika kesakitan bermula beberapa hari sebelum permulaan haid dan berpanjangan selama 3 hari, dan anda juga menyedari ada beberapa benjolan dalam abdomen, muntah yang kerap, dan perubahan dalam aliran haid, eloklah berjumpa doktor. Sekiranya anda aktif dalam aktiviti seks dan mengalami kesakitan semasa melakukan seks, anda juga harus mendapatkan pemeriksaan doktor.

Adakah Saya Akan Mengalami Senggugut Selama-lamanya?

Adalah lebih elok sekiranya anda mengetahui yang anda mengalami dismenorea primer atau sekunder. Dismenorea primer terjadi kepada wanita yang ovarinya hanya mengeluarkan sebiji telur setiap bulan. Golongan wanita ini mempunyai kitaran haid yang normal dan akan haid setiap bulan.

Sesetengah perempuan akan berhenti mengalami dismenorea primer apabila mereka semakin dewasa dan mempunyai anak. Apabila anda semakin tua dan tubuh berhenti mengeluarkan hormon yang cukup seperti estrogen dan progestrone, anda tidak akan mengalami period lagi. Ketika ini, dismenorea primer juga akan hilang. Maknanya anda tidak akan menderita selama-lamanya!

Apabila dikesan yang senggugut anda disebabkan jangkitan atau pertumbuhan tidak normal seperti sista atau polips, jadi ia harus dirawat terlebih dahulu oleh doktor. Sebaik sahaja penyebab disemenorea sekunder dirawat, kesakitan mungkin berkurangan atau hilang.

Bolehkah Senggugut Dicegah?

Bagi dismenorea primer, doktor akan memberi rawatan seperti pil perancang dan pil penahan sakit. Anda boleh mengurangkan kesakitan atau kekerapannya dengan hidup secara sihat. Beberapa langkah untuk panduan :

# Perbaiki diet. Jangan cuba untuk hilangkan berat badan secara drastik. Makan makanan yang mengandungi banyak protein dan tinggi kandungan seratnya. Makan banyak sayur-sayuran, kekacang, ikan salmon, ikan sardin dan parsli

# Kurangkan garam

# Variasikan pilihan minuman. Banyakkan minum jus buah-buahan. Ia lebih enak dan sihat berbanding aiskrim atau minuman berkarbonat. Elakkan teh dan kopi beberapa hari sebelum haid

# Ambil vitamin tambahan. Ambil Vitamin B dan E. Boleh juga menambah magnesium dan kalsium dalam diet. Beritahu doktor sebelum mengambil sebarang vitamin. Sesetengah vitamin boleh bertindak balas dengan ubat-ubatan yang lain dan mengakibatkan kesan sampingan jika diambil berlebihan.

# Bagaimana dengan lemak yang berkualiti? Ya! Banyakkan makan salmon dan tuna. Ia mengandungi lemak asid omega 3 yang tinggi dan boleh mengurangkan kesakitan senggugut

# Kekal aktif. Anda boleh meneruskan aktiviti harian dan kekal cergas semasa haid. Joging dan berjalan bersiar-siar juga membantu. Anda boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk bersenam. Bersenam telah terbukti dapat mengurangkan kesakitan dismenorea

# Berhenti merokok

# Tenangkan fikiran. Belajar untuk meditasi. Anda juga boleh mendengar lagu atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dengan menonton filem komedi. Bergelak-ketawa juga dapat menenangkan urat saraf.

Saya Menjaga pemakanan dan bersenam tetapi sakit masih tidak hilang. Apa yang perlu saya buat?

Senggugut boleh menyebabkan kesakitan yang teruk. Ketika ini, mungkin anda hanya mahu baring sahaja di katil. Anda mungkin tidak mahu melakukan apa-apa ketika mengalami senggugut tetapi seeloknya anda tidak harus membiarkan kesakitan terus menular. Anda boleh melakukan perkara-perkara di bawah untuk menolong mengurangkan kesakitan :

* Lakukan sesuatu! Jangan tunggu sampai sakit itu semakin teruk. Ambil pil penahan sakit untuk mengurangkan kesakitan. Kebanyakan pil penahan sakit boleh didapati di kebanyakan kedai dan sangat berkesan. Ingat antara tanda-tanda senggugut. Pastikan anda makan sesuatu sebelum mengambil pil penahan sakit. Jangan pendam kesakitan ketika diserang senggugut.

* Tuam perut. Dapatkan tuala dan rendam di dalam air suam. Perah tuala dan letakkan tuala di atas bahagian yang sakit. Lakukan sehingga kesakitan reda.

* Tarik nafas dalam-dalam. Baring dan tenangkan diri. Jika pening, padam lampu di dalam bilik dan jauhi bunyi bising. Kesakitan akan berkurang selepas kamu mengambil pil penahan sakit.


Perlukah saya ponteng sekolah atau kerja ketika saya mengalami senggugut?

Senggugut memang menyakitkan. Ia boleh menjadi lebih teruk dan kebanyakan perempuan perlu berehat di rumah dan baring di atas katil untuk sembuh. Ia amat difahami.

Apabila anda rasa tidak sihat, pastikan anda memaklumkan guru atau sesiapa di pejabat tentang keadaan anda. Pastikan kamu bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang tertangguh.

kdt: http://www.sihatselalu.com.my/

1 comment:

Ummu Ukasyah said...

Jom join..

http://asleenda.blogspot.com/2011/04/asleenda-2nd-giveaway.html